NOVEMBER 2023

Sarawak Mahu Terokai Ekonomi Biru


BALI: Sarawak akan merangka Dasar dan Halatuju Ekonomi Biru (SBEP) untuk pembangunan pantai dan ekosistem marin mampan, kata Premier sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, SBEP itu merupakan satu daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid Sarawak (PCDS) 2030 untuk memanfaat nilai lautan dan memajukan industri maritim melalui ekonomi biru.

SBEP merangkumi banyak aktiviti ekonomi yang bergantung kepada kelestarian dan produktiviti lautan dan pantai termasuk perikanan, akuakultur, tenaga diperbaharui, pelancongan dan perkapalan, katanya berucap pada Persidangan Persekutuan Persatuan Kejuruteraan ASEAN Ke-41 di sini.

Persidangan itu bertemakan Membangunkan Ekonomi Biru dan Tenaga Hijau ASEAN.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak berminat mewujudkan perkongsian dan kolaborasi secara bersama dengan harapan menggerakkan pertumbuhan mampan di Asia Tenggara.

Menurut Abang Johari, visi rancangan Sarawak untuk membangunkan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang untuk menjadi pintu masuk penting bagi industri minyak dan gas di wilayah selatan.

Pelabuhan moden itu akan menjadi kluster khas untuk pemunggahan kargo am dan hab perkhidmatan minyak dan gas, katanya, di samping meningkatkan lagi dagangan minyak dan gas negeri ini.

Dengan mengambil kira lokasi strategik Sarawak dan Indonesia, beliau berkata, kerjasama dalam pengangkutan marin dan perkapalan akan meningkatkan dagangan dan kesalinghubungan ekonomi antara kedua-dua wilayah.

Inisiatif bersama untuk menambahbaik infrastruktur pelabuhan, menggalakkan amalam perkapalan mampan dan meningkatkan keselataman maritim, tambahnya, hendaklah diperkasakan demi menyokong pertumbuhan dan menjamin kegiatan pelabuhan membangun secara mampan.

Beliau berkata, kelestarian kuasahidro akan menggerakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak dengan menyediakan tenaga bersih, moden, berpatutan dan mesra alam sesuai dengan matlamat membantu perubahan iklim.

Kajian menunjukkan Sarawak berpotensi menghasil 20,000 megawatt (mw) tenaga hidro elektrik di kawasan tinggi dengan 3,500mw sudah dihasilkan daripada tiga empangan besar.

Inisiatif membangunkan tenaga hidro itu telah meningkatkan kadar bekalan elektrik di negeri hampir penuh daripada 79 peratus pada 2009, katanya.

Rancangan Sarawak, katanya, untuk membangunkan empangan keempat dengan tambahan 1,300mw tenaga hidro diperbaharui daripada kapasiti sedia ada menjelang akhir dekad ini sejajar dengan permintaan tinggi daripada pelanggang domestik dan untuk dieskport.

Sarawak, tambahnya, turut berada di hadapan dalam revolusi peralihan tenaga dengan menerokai sumber diperbaharui seperti air, solar dan angin.

Sumber dari : Jiwa Bakti